Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

04 July 2012

IBU MEMBERI, BUKAN UNTUK MENERIMA


Saya benar-benar tersentuh. Air mata hampir menitis. Kata-katanya singkat, namun padat dan menyentuh. Tuan Syed bercerita seadanya. Perlahan, seakan-akan berbual ringan.

“Cuba ceritakan keistimewaan ibu Tuan Syed?”

“Semua ibu istimewa.”

“Tapi saya ingin dengar kisah Tuan Syed. Ya, semua ibu istimewa, tetapi keistimewaan seorang ibu dengan yang lain pasti tidak sama. Apa keistimewaan ibu Tuan Syed?” pinta saya seakan merayu.
“Saya teringat….” Tuan Syed mula bercerita, “Suatu hari semasa umi sangat uzur dia ingin turun tangga melihat halaman rumah. Sakitnya kian berat. Badannya lemah. Saya papah ummi menuruni tangga.”

Saya mendengar penuh minat.

“Tiba-tiba ummi berkata, ummi risau, kalau ummi meninggal nanti siapa yang akan doakn kamu!”

Saya tersentak. Benar-benar tersentuh. Jika sayalah ditempat ibu Tuan Syed itu mungkin kata-kata saya berbeza. Mungkin saya akan berkata begini, “ Kalau ummi meningggal nanti, siapalah diantara anak-anak ummi yang nak doakan ummi. Jangan lupa doa ummi ya?” Tetapi sebaliknya bagi ibu Tuan Syed didepan saya, dia bimbang kalau tidak dapat “memberi”, manakala saya, bimbang kalau tidak dapat “menerima”.

“ Apa kesan daripada kata-kata ibu kepada Tuan Syed?” cungkil saya.

“Semenjak itu hingga kini, selepas 5 tahun kematiannya, saya tidak pernah luput daripada mendoakannya setiap kali selepas solat lima waktu. Kata-kata itu sangat berkesan dihati saya.”

Matanya mula berair. Sebak.Jiwa saya terpukul. Ah, lalainya aku, kekadang lupa juga mendoakan ibu seusai solat lima waktu.

gambar hiasan

Kini setelah hampir sebulan perbualan itu berlalu, hati saya masih sukar memutuskan siapa yang lebih bertuah, Tuan Syed yang mendapat ibunya yang baik atau ibu Tuan Syed yang mendapat anak yang baik? Tapi hakikatnya, siapa yang menyayangi akan disayangi. Siapa yang paling kasih tinggi kasihnya, dialah yang paling banyak memberi. Ya, kita akan lebih banyak menerima jika kita memberi bukan untuk menerima!

Nukilan daripada: Ust Pahrol Mohd. Juoi dalam buku Nota Hati Seorang Lelaki

0 comments:

Post a Comment