Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

24 January 2011

HADITHUL IFK : SERANGAN PSIKOLOGI SEBUAH GERAKAN DAKWAH

Mengikuti jejak langkah para Anbia’ dalam menegakkan Islam dibumi ini, menjadikan sebuah gerakan dakwah menghadapi pelbagai ujian berupa dalaman & luaran. Ancaman dalaman lebih berbahaya sekiranya tidak diurus dengan baik apatah lagi setelah mendapat bantuan dari pihak luar. Dunia dakwah dihamparkan dengan ujian & cabaran, menjadikan para petugasnya serius dan tidak lalai dengan mainan dunia. Musuh Islam mencari jalan untuk menghancurkan gerakan dakwah yang meletakkan Islam sebagai cara hidup sebagaimana Islam yang dibawa oleh Rasululullah. Islam bersifat syumul tidak memisahkan antara agama & kehidupan sebagaimana telah disebut oleh Dr. Karim Zaidan dalam kitabnya Madkhal Ila Syariah Islamiah bahawa Islam itu agama & negara.
Fitnah dihadiahkan kepada gerakan dakwah dengan penuh halus maupun kasar. Golongan Munafiq tidak senang melihat Islam terus dijulang dan begitu juga Mukmin Dengki dalam gerakan dakwah berlainan juga cemburu dengan kemajuan sebuah gerakan dakwah yang mereka tidak mampu mencapainya. Al-Quran dijadikan panduan, sirah Nabi menceritakan kronologinya.
HADITHUL IFK : PERANG ISU
Syeikh Munir Ghadban dalam bukunya Manhaj Haraki[1] memberikan penjelasan cukup jelas :
“ Kisah Hadithul Ifk merupakan satu bentuk yang sentiasa berulang pada setiap generasi, dimana sasaran utama dari tuduhan itu sebenarnya diarahkan kepada pemimpin dengan tujuan hendak menghancurkan kepercayan para pendokong terhadap barisan kepimpinan.
Bila kekuatan fizikal tidak mampu membunuh karakter pimpinan, maka dihadapan musuh tidak ada lagi jalan yang biasa ditempuhnya melainkan perang psikologi terhadap kepimpinan tersebut dengan menghancurkannya. Kerana itu disini tidak akan dibahas Hadithul Ifk sebagai satu peristiwa historis dengan segala perincian & pelajaran tetapi akan dipandang peristiwa ini sebagai PERANG ISU yang disebarluaskan oleh musuh dikalangan barisan Islam untuk menghancurkan pimpinan.”
ALLAH menegur kaum muslimin yang masih menerima maklumat tanpa usul periksa sehingga golongan Munafiq mampu menyebarkan propaganda bagai api membakar jerami. Golongan munafiq sedar bahawa mereka hanya mampu menghancurkan Islam bermula dengan menjatuhkan kredibiliti barisan kepimpinan. Membuang ‘wala’ & mencabut ‘thiqah’ seorang ahli terhadap pimpinan merupakan cara terbaik menghancurkan sebuah gerakan.
Taat dan wala’[2] merupakan kayu pengukur diantara keimanan dan kekufuran juga bagi mengenal pasti seseorang yang memberi ketaatan itu berada dalam Hizbulllah ataupun sebenarnya dia berada dalam Hizbul syaitan. Sebenarnya ketaatan tersebut berdasarkan keimanan dan kesedaran diatas apa yang diperintahkan oleh syara’ dan untuk melihat kemaslahatan dakwah Islamiah. Kerana itu tidak harus seseorang itu untuk taat kepada perkara-perkara yang bertentangan dengan ALLAH. Rasulullah telah bersabda :
“ Dengar dan taat adalah kewajipan bagi setiap orang muslimsamada pekara itu disukai atau dibencinya selagi mana tidak disuruh pada yang maksiat. Jika diprintahkanpada maksiat, maka tidak pelu dengar dan taat.”
Syeikh Munir Ghadban membentangkan ibrah besar buat aktivis dakwah dalam mengharungi jalan dakwah yang penuh onak & cabaran.
1. Menghindari tuduhan yang masih bersifat prasangka adalah kewajipan pokok yang wajib ditunaikan kaum muslimin.
2. Jangan menerima isu begitu sahaja. Berita apa pun yang tidak diperkuatkan dengan bukti harus ditolak oleh setiap muslim.
3. Untuk menimbang secara cermat dalam menilai benar tidaknya sesuatu isu, bandingkanlah peribadi orang yang diisukan itu dengan diri anda sendiri terlebih dahulu supaya tidak meletakkan kesalahan orang lain dan mengabaikan kesalahan diri sendiri.
4. Jangan sesekali membiarkan hawa nafsu ikut campur dalam menyelesaikan soal khabar bohong.
5. Beban terberat dalam menghadapi Hadithul Ifk ini adalah sikap yang mesti diambil oleh orang yang diisukan. Manhaj yang harus dipegang dalam hal ini janganlah membalas berita bohong dengan berita bohong yang lain dan janganlah membalas isu dusta dengan isu lain yang serupa dengannya.
6. Menghukum orang-orang yang terpedaya dan terlibat dalam menyebarkan fitnah. Sebagai contoh, tiga tokoh penyebar berita tersebut, Misthah bin Utsatsah, Hassan bin Thabit dan Hamnah binti Jahsy dijatuhkan hukuman had-qadzaf kepada mereka iaitu didera 80 kali pada satu riwayat.
Akhir sekali, bagi memastikan survival dakwah terus hidup. Aktivis dakwah sewajarnya berhati-hati dalam setiap berita dan tuduhan terhadap barisan kepimpinan atau gerakan itu sendiri. Sikap ‘tabayyun’ diamalkan agar kaum muslimin tidak ditipu dengan dakyah & serangan daripada musuh-musuh Islam.


[1] Syeikh Munir Muhammad al-Ghadban, Manhaj Haraki: Strategi Pergerakan & Perjuangan Politik dalam Sirah Nabi S.A.W, jilid 2 m/s10
[2] Ustaz Haji Saiful Bahri Mamat, Kertas Kerja Konsep Wala’ dalam Kepimpinan Islam.