Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

16 March 2011

PIDATO SAIDINA ABU BAKAR : BENTUK DASAR NEGARA ISLAM

Karismatik seorang pemimpin terletak bagaimana mereka mengutarakan idea brilliant kepada orang dibawahnya. Performance yang hodoh menggambarkan kebodohan seorang pemimpin dalam membawa organisasi jauh kehadapan. Pidato berpengaruh mampu menilai tahap keintelektualan dan daya fikir seorang pemimpin dalam mengutarakan idea.
Nilai kepercayaan seorang ahli kepada seorang pemimpin terletak pada pandangan pertama ketika seorang pemimpin memulakan ucapan sulungnya setelah dilantik menjadi pimpinan. Pidato berpengaruh bukan sekadar memukau pendengar bahkan mampu menggerakkan jiwa tidak bermaya terus bangkit bersemangat meneruskan daya juang.
Ini telah dibuktikan oleh Panglima Muthanna ketika tentera Islam kecewa dengan keputusan SaidiUmar melucutkan jawatan Panglima Tentera dari Khalid al-Walid kepada Panglima Muthanna bagi memimpin menakluk Persia. Pidato Saidina Umar Al-Khatab tidak berkesan untuk membangkitkan semangat jihad tentera Islam setelah mereka kecewa dengan keputusan Amirul Mukminin.
Panglima terus mengambil posisi sebagai Panglima Perang dengan ucapan lantang terus berpidato:
“ Wahai Kaum Muslimin! Dengarlah aku. Aku sudah menguji keberanian kaum penyembah api itu dan aku mendapati mereka tidak seberani mana dimedan perang. Kita sudah merebut kebanyakan daerah penting di Iraq dan orang-orang Parsi tunduk di depan kepercayaan kita yang benar.”
Pidato ini disambut dengan tiupan semangat oleh Abu ‘Ubaid Mas’ud al-Thaqafi degan manyatakan, “ aku yang menyanggupi tugas itu”
Kuasa pidato seorang pemimpin berpengaruh mampu menggerakkan jiwa ketakutan tentera Islam. Peristiwa ini dibuktikan semasa Tariq bin Ziad ketika menawan Andalus, tentera Raja Roderige. Beliau mengeluarkan kata berapinya kepada tentera Islam dengan lantang menyebut:
“ Wahai Saudara-saudaraku, laut dibelakang kalian dan musuh didepan kalian. Kemanakah kalaian mahu lari? Demi Allah, apa yang kalian miliki hanya kejujuran dan kesabaran.
UCAPAN DASAR GAMBARAN NEGARA ISLAM
Bedah buku Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa’ Ar-Ar-Rashidin diteruskan sebagai perkongsian bersama dalam membangkitan keizzahan generasi Khulafa’ Ar-Rashidin yang telah dijamin syurga oleh ALLAH. Zaman bermulanya fitnah terhadap umat Islam dengan lahirnya berbagai mazhab dan aliran pemikiran.
Siri pertama bedah buku menceritakan berlakunya kekhilafan pendapat dalam melantik Khalifah pertama dalam kalangan Ahli Bait, Kaum Ansar, Kaum Muhajirin. Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyebut:
“ Kekhilafan ini melahirkan mazhab kefahaman politik Islam pada zaman mutakhir. Pendapat Ahli Bait melahirkan mazhab Syiah. Selepas itu, muncul pula golongan yang menyatakan bukan sahaja keturunan Ali dan Fatimah yang layak menjadi khalifah, jadi mereka memperjuangkan keturunan Al-Abbas, bapa saudara Rasulullah juga berhak. Golongan ini berjuang menegakkan kerajaan Abbasiah. Pendapat Ansar melahirkan mazhab Khawarij dan pendapat Muhajirin menjadi pegangan ahli sunnah.”
Setelah dilantik menjadi khalifah, Saidina Abu Bakar bangun berpidato:
“ Wahai semua orang yang hadir, saya dilantik menjadi pemimpin kamu, pada hal saya bukannya orang yang terbaik dikalangan kamu. Sekiranya saya seorang yang berlaku baik, tolonglah saya. Sekiranya saya berlaku buruk, perbetulkan saya. Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Orang yang lemah kalangan kamu menjadi kuat disisku sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat pula menjadi lemah disisiku sehingga aku bertindak keatasnya dengan cara yang benar ( adil ). InsyaALLAH, tiada ada seorang meninggalkan kewajipan berjihad menegakkan Islam, maka sesungguhnya tidak ada kaum yang meninggalkan kewajipan jihad itu melainkan ALLAH menghukum mereka menjadi hina. Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul, maka apabila aku menderhakai Allah dan Rasulnya, maka kamu tidak wajib mentaatiku.”
Ucapan ini menggambarkan bagaimana fungsi sebuah negara Islam untuk terus hidup dilubuk umat Islam. Cukup menarik pandangan M Anis Matta dalam bukunya Dari Gerakan Ke Negara dalam membincangkan sebuah pembinaan Negara Madinah yang dibangun dari dasar sebuah gerakan menceritakan :
“ Dalam kerangka pemikiran, bentuk negara memang menjadi fleksibel. Walaupun para pemikir politik Islam mengakui bahawa Khilafah khususnya yang berlaku pada masa Khulafa’ Ar-Rashidin adalah bentuk negara yang terbaik, tapi mereka tidak menafikan bentuk-bentuk lain yang pernah ada. Misalnya kerajaan. Sebab yang jauh lebih penting bagi mereka adalah fungsi negara itu sendiri sebagai alat untuk menerapkan syariat Islam. Selama fungsi itu berjalan,mereka tetap menerima semua bentuk negara.”
Perkara pokok dalam politik Islam mengenai negara Islam adalah fungsi sebagai penegak Syariat Allah. Persoalan bentuk negara adalah bebas samada terbentuk dari khilafah, dinasti hingga negara bangsa atau sistem pemertintahannya dari Parlimen, Presiden hingga monarki. Semua bentuk negara dan sistem pemerintahan diterima selagimana fungsi sebagai penegak syariat dapat dilaksanakan.
Ucapan khalifah pertama dapat dirumuskan dalam menyatakan dasar sebuah negara Islam:
Pertama : Al-Quran dan Hadis adalah hukum tertinggi
“ Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul, maka apabila aku menderhakai Allah dan Rasulnya, maka kamu tidak wajib mentaatiku.”
Ucapan ini bersesuian dengan Firman ALLAH dalam surah An-Nisa ayat 105:
“ Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) Dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa Yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah Engkau menjadi Pembela bagi orang-orang Yang khianat.”
Kedua : Baiah dan Ketaatan
Rakyat hendaklah mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah selagi mana pemerintah melaksanakan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah dan tidak menyuruh melakukan kemaksiatan kepada ALLAH.
Ketiga: Hak Pemantauan dan Hisbah
Pemerintah berhak untuk diselidik kerana pemerintah bukan maksum. Hatta Nabi Muhammad memberi peluang kepada sahabatnya untuk membalas sekiranya baginda pernah memalukan para sahabat. Adakah pemerintah masa kini lebih maksum berbanding Nabi Muhammad setelah melaksanakan ‘meletakkan Badan Kehakiman dan Mahkamah dibawah telunjuk pemerintah.
Keempat : Adil dan Hak untuk semua
Keadilan menjadi dasar penting dalam sebuah Negara Islam. Usah ego mengatakan Negara Islam kalau menzalimi rakyat dengan tahan tanpa bicara.
Kelima : Benar
Bohong dan menipu itu khianat. Seorang pengkhianat tidak layak menjadi pemerintah.
Keenam : Menunaikan kewajipan Jihad
Tertubuhnya sebuah Negara Islam untuk mengimplemtasikan syariat Allah. Kalu negara tak tegakkan Islam bermakna bukannya sebuah Negara Islam.
Ketujuh : Membanteras kejahatan
Membanteras jenayah dan gejala sosial menjadi agenda pemerintah. Lubang-lubang kemaksiatan dan kejahatan mesti ditutup. Premis-premis arak, judi, rumah pelacuran diambil dikawal dan diambil perhatian lebih. Tidak cukup sekadar menjalan kan amar maaruf dengan membina masjid, mengadakan program agama tetapi maksiat berjalan seiring.

KETEGASAN PRINSIP & KEYAKINAN TINGGI
“ Demi Allah, sekiranya binatang buas yang mengheret kakiku ini, pasti aku tidak akan merungkaikan bendera yang diikat oleh Rasulullah s.a.w ”
Kata-kata ini terpacul oleh Saidina Abu Bakar ketika mana Saidina Umar meminta daripada Khalifah agar menahan tentera Pimpinan Usamah bin Zaid dari meneruskan perjalanan memerangi Rom.
Sebelum wafatnya Baginda Rasulullah saw, baginda telah melantik Usamah bin Zaid mengepalai memerangi Rom Timur. Namun dipertengahan jalan, berita Nabi Muhammad jatuh sakit diterima oleh Usamah menyebabkan beliau membuat keputusan berhenti dipinggir Madinah oleh kerana bimbang dan cemas dengan kondisi baginda. Tentera Usamah menangguhkan perjalanan menuju Rom sebaik sahaja menerima kewafatan baginda.
Gejala murtad yang berleluasa memaksa para sahabat dan Usamah sendiri untuk mencadangkan kepada khalifah agar misi ketenteraan diubah kepada misi melawan golongan murtad. Golongan Ansar juga mencadangkan agar ditukar Usamah dengan panglima yang lebih berusia dan berpengalaman. Saidina Umar ditugaskan untuk menyampaikan cadangan tersebut. Saidina Umar mengutarakan cadangan dari sahabat agar diubah misi ketenteraan dengan alasan ramai orang arab murtad dan menggunakan kepakaran dalam tentera Usamah untuk berkhidmat menentang golongan Murtad. Namun khalifah membalas:
“ Demi Allah, sekiranya binatang buas yang mengheret kakiku ini, pasti aku tidak akan merungkaikan bendera yang diikat oleh Rasulullah s.a.w ”
Saidina Umar terus membentangkan cadangan kedua iaitu menukar Panglima Usamah bin Zaid. Lantas Saidina Abu Bakar marah dan bangkit menarik janggut Umar dan berkata:
“ Rasulullah yang melantiknya. Mengapa kamu meminta aku memecatnya?” Umar tunduk mengalah. Begitulah kehebatan Abu Bakar dengan sikap ketegasannya menakutkan musuh Islam. Walau dikenali khalifah pertama berjiwa lembut namun dalam persoalan prinsip dan displin, beliau ckup bertegas. Ini lah sikap pemimpin yang tidak mampu dipijak oleh orang bawahan atau musuh Islam.
BUKAN ONE MAN SHOW
Ketika gejala murtad merebak, Allah meneguhkan keimanan mereka yang ikhlas. Allah menghantar ulama’ dan pemidato hebat untuk memberi tasji’ kapad umat Islam. Saidina Abu Bakar tidak keseorangan dalam menyelamatkan akidah, dibelakang beliau lahirnya ulama’ dan pendokong Islam.
‘Penswastaan’ Pidato Berpengaruh kepada Pengerusi persatuan semata-mata akan menyebabkan sebuah organisasi bergantung harap pada seorang sahaja. Mereka mesti terkehadapan dalam memberi tasji’ dan lontaran idea bagi menguatkan organisasi.
Disini kita dapat lihat bagaimana Suhail bin Amar yang baru memeluk Islam merupakan bekas tokoh pemimpin Mekah sebelum beliau memeluk Islam. Beliau memberi ucapan ditengah kancah kenurtadan dengan berkata:
“ Wahai penduduk Makkah! Demi ALLAH! Sesungguhnya Dia menyempurnakan urusan menegakkan agama ini seperti yang pernah disebut oleh Rasulullah saw. Sesungguhnya aku menyaksikan Rasulullah saw berdiri ditempat aku berdiri keseorangan. Beliau berkata. “ Ucapkanlah bersama aku kalimah, tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH. Pasti kamu dapat mengumpulkan bangsa arab dan memerintah bangsa lain sehingga merek amembayar cukai kepada kamu. Demi Allah, kamu akan berbelanja dengan harta kejayaan Kisradi Parsi dan Kaisar di Rom kerana menegakkan agama Allah.” Ketika Rasulullah menyampaikan ucapan itu, ada orang yang menngejak dan ada orang yang percaya. Sebenarnya berlaku apa yang kamu saksikan sebahagian daripadanya. Demi Allah! Pasti akan berlaku perkara yang berikutnya. “
Di Taif, Uthman bin Abu Al-Ash Al-Thaqafi pemidato hebat juga memberi keyakinan dan semangat kepada umat Islam dengan berkata:
“ Wahai Bani Thaqif! Kamu adalah orang terakhir memluk Islam. Jadi, janganlah kamu menjadi orang pertama murtad keluar dari agama Islam.”
MENDAHULUI KATA
Cakap lebat, kerja lambat, jemaah lembab.
Seorang pemimpin bukan sekadar tahu berteori dan hebat bercakap dalam mesyuarat dan bilik kuliah tapi lesu dalam tindakan. Kerja mendahului kata. Tidak cukup hebar berpidato namun lemah sebagai aktivis.
Ketika Madinah diserang oleh penceroboh, khalifah Abu Bakar yang pertama memimpin tentera melakukan serangan hendap kepada penceroboh sehingga panglima tentera musuh, Hibal mati. Khalifah mahu meneruskan operasi lagi memburu puak lain tapi terpaksa pulang ke Madinah bagi menjalankan tugas berikutnya.
Pemimpin bukan sekadar memberi arahan tapi bekerja bersama ahli dalam melaksanakan arahan.
Sekian, terima kasih.

12 March 2011

BAGAIMANA MAHASISWA MEMBUMIKAN GAYA POLITIK KHULAFA’


Menelaah buku Taktik Strategi Berpolitik Gaya Khulafa’ Ar-Rashidin karangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menambah lagi maklumat mengenai gaya kepimpinan generasi unggul yang ditarbiah oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan dijanjikan syurga. Hebatnya Rasulullah saw mampu menukar identiti manusia berubah 360 darjah.
Kewafatan baginda tidak meninggalkan pengganti. Kebanyakan hadis menceritakan kelebihan individu tertentu, tidak secara tepat Nabi Muhammad menyebut siapakah pengganti selepasnya. Kenyataan ini telah dibuktikan dengan kata-kata Saidina Umar Al-Khattab yang telah dinukilkan sahih oleh Bukhari dan Muslim.
Khalifah Umar ditanya ketika beliau dalam keadaan tenat akibat cedera ditikam, supaya menamakan penggantinya. Katanya. ‘ sekiranya aku menentukan, maka orang yang lebih baik daripada ku ialah Abu Bakar yang pernah menentukannya, sekiranya aku tinggalkan kepada kamu sendiri yang menentukan, maka orang yang terbaik ialah Rasulullah yang pernah meninggalkan dengan menyerah kepada umat memilihnya.”
Pemilihan khalifah pegganti Rasulullah telah diadakan di Thaqifah Bani Saidah sejurus mengetahui kewafatan baginda. Saat itu, jasad baginda masih belum dikebumikan. Ini memberi pengertiaan yang cukup jelas bahawa Islam mementingkan aspek pemrintahan dalam sesebuah negara yakni urusan politik.
Ahli Bait mencalonkan Saidina Ali sebagai khalifah kerana mereka menegaskan ketua negara perlu daripada keluarga baginda dan banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis menyebut kelebihan dan tugas yang diserahkan kepada Saidina Ali semasa hayat baginda, Kaum Ansar mencadangkan Saad bin Ubadah atas kapasiti mereka lebih layak dipilih kerana jihad mereka bersama Rasulullah dengan penuh pengorbanan dan mereka juga penduduk asal Madinah. Kaum Muhajirin juga tidak terkecuali mencalonkan Saidina Abu Bakar kerana Al-Quran dan hadis banyak menegaskan tentang kelebihan mereka dan pemimpin mesti dalam kalangan Quraisy.
Pemilihan Abu Bakar dijalankan secara mesyuarat. Setelah Abu Bakar menyampaikan pidatonya bagi menenangkan para sahabat. Beliau mencadangkan Abu Ubaidah menjadi khalifah. Namun, Abu Ubaidah dan Saidina Ali mencalonkan Saidina Abu Bakar. Pendapat masing-masing dibahaskan sehangatnya sehinggalah Saidina Abu Bakar secara rasminya menjadi Khalifah pertama selepas kewafatan baginda s.a.w.
KETOKOHAN SAIDINA ABU BAKAR
Ibnu Khaldun berpendapat:
“ Keputusan memilih Saidina Abu Bakar daripada kalangan Muhajirin Quraisy dilihat dari segi ILMU POLITIK. Ketokohan Abu Bakar difikirkan layak kerana KEMATANGAN nya melebihi orang lain dan ILMU. Daripada kalangan Quraisy, beliau daripada kabilah terkuat PENGARUH nya dalam masyarakat Arab, sehingga mempunyai kehebatan menghadapi cabaran dalaman dan luaran ketika itu.”
Elemen yang dilihat oleh para sahabat bagi melayakkan Saidina Abu Bakar menggantikan Rasulullah s.a.w ialah dari sudut ILMU, PENGALAMAN dan PENGARUH.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menjelaskan dalam bukunya:
“ Masih terlalu awal menyerahkan jawatan yang besar ini kepada selain Abu Bakar. Kedudukannya menemani Rasulullah ketika berhijrah. Rasulullah pernah menugaskannya menjadi imam sembahyang dan tugas-tugas yang lain memberi kelebihan kepadanya menjadi orang yang paling layak bergelar Khalifah Pertama.
Dalam kalangan Ansar, mereka sendiri menghadapi masalah, akibat pertelingkahan yang mencetuskan peperangan ketika zaman jahiliah antara dua kabilah besar Aus dan Khazraj. Adalah sukar mencalonkan orang yang diterima semua pihak. Islam yang berjaya memadamkan api permusuhan dengan tidak mencetuskan pertelingkahan calon khalifah dalam kalangan Ansar sendiri.
Apabila dikhususkan kepada Ahli Bait, Islam membawa sistem mewariskan pemerintahan yang beku dalam satu keluarga. Pada masa yang sama, ia bercanggah dengan konsep mesyuarat yang ditegaskan oleh Al-Quran.”
Ilmu asas utama melayakkan seseorang menjadi pemimpin. Pemimpin jahil tidak mampu membawa sebuah organisasi jauh ke hadapan. Begitu juga, Pengalaman merupakan sebuah harta paling berharga. Tidak cukup hanya sekadar ‘alim tapi kurang pengalaman. Dengan pengalaman, mereka memahami selok belok dan kekurangan generasi terdahulu. Ilmu dan pengalaman hanya meletakkan seorang pemimpin pada tahap kedudukan rasmi. Mereka ada jawatan dan boleh bekerja tapi mereka tiada pengaruh. Kuasa Pengaruh mampu mengubah manusia. Dengan pengaruh, sebuah organisasi dirasai kewujudannya dan dihargai oleh masyarakat.
John C. Maxwell menyebut dalam bukunya The 360 degree Leader:
“ Kita mungkin dapat memberi kedudukan atau pangkat kepada seseorang, tetapi kita tidak dapat memberinya kepimpinan yang sebenar. Pengaruh perlu diperoleh dengan usaha sendiri. “
“ Pemimpin yang hebat dapat meluaskan pengaruh mereka ke peringkat yang lebih besar, jauh lebih besar daripada kedudukan mereka. Pemimpin yang lemah akan mengecilkan pengaruh mereka walaupun pangkat mereka tinggi. Kedudukan dan pangkat tidak menjadikan seseorang itu pemimpin tetapi pemimpi dapat mencipta kedudukannya.”
Amat malang bagi seseorang pemimpin, dia dikasihi oleh pekerja dek jawatan. Tamat jawatan, dia disisihkan oleh pekerja. Tiada nilai!. Jadilah pemimpin yang ditaati pekerja kerana kehormatan dan kasih sayang mereka kepada ketua bukan semata-mata disebabkan oleh kedudukan dan posisi dalam organisasi.
“PENGARUH BUKANLAH SESUATU YANG DICARI. APABILA KUALITI DIRI DIBANGUNKAN, PENGARUH DATANG SENDIRI”
> akan bersambung….