Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Featured Posts

22 July 2012

RESOLUSI Urgent Meeting : We Are Brother


Menyedari bahawa adalah suatu kewajipan di sisi agama bagi mengambil berat dan bertanggungjawab terhadap hal ehwal umat Islam khususnya yang sedang ditindas dan dizalimi di Syria, Myanmar dan Palestin, pada 18 Julai 2012 bertempat di Kulliyah Of Education UIAM, Institut Forum Siswa (i-FORSIS) dengan kerjasama Ma’ruf Club (MC) UIAM telah menganjurkan “Urgent Meeting : We Are Brother” bagi menetapkan suatu pendirian terhadap isu tersebut dan menyediakan pelan tindakan yang dapat meningkatkan kecaknaan dan rasa tanggungjawab ummah terhadap musibah yang sedang melanda umat Islam di Syria, Mnyanmar, Palestin dan negara-negara umat Islam yang lain.

Hasil daripada pertemuan itu :-

Kami sekeras-kerasnya membantah sebarang bentuk penindasan dan kezaliman yang dilakukan tersebut dan pembunuhan yang dilakukan itu juga merupakan suatu tindakan yang bercanggah dengan nilai kemanusiaan, undang-undang antarabangsa dan prinsip agama.

Kami menyeru supaya umat Islam dan masyarakat yang prihatin supaya :

1.                  Mengusahakan sedaya upaya bagi mengumpul dan menyalurkan bantuan kewangan bagi membantu umat Islam di Syria, Mnyanmar dan Palestin. 
2.                  Berterusan memanjatkan doa secara khusus kepada Allah di bulan Ramadan yang mulia ini bagi memohon kesejahteraan umat Islam di Syria, Mnyanmar dan Palestin. 
3.                  Menyebarluaskan maklumat dan informasi terkini berkenaan keadaan umat Islam yang ditindas dan dizalimi di Syria, Mnyanmar dan Palestin kepada seluruh peringkat masyarakat melalui medium dan pendekatan yang pelbagai. 

Oleh itu, kami akan :

1.                  Menyediakan platform bagi membina dan mengukuhkan kesatuan umat Islamserta bertujuan membincangkan pendirian dan pelan tindakan terhadap isu-isu yang melanda umat Islam.
2.                  Melancarkan dana khas bagi mengumpul bantuan kewangan untuk disalurkan kepada umat Islam Syria, Mnyanmar dan Palestin.
3.                  Menganjurkan kempen secara berterusan dan besar-besaran bagi meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap keadaan umat Islam yang lain.
4.                  Mengadakan “Himpunan Solidariti Ummah” pada hari Jumaat, 27 Julai 2012, 2 PM di Masjid UIAM Gombak. 


Oleh hal yang demikian, kami amat mengharapkan sokongan dan dokongan daripada pelbagai pihak untuk menjayakan agenda ini. Semoga Allah merahmati kita semua.

Sekian. Terima kasih.

Resolusi ini disediakan dan dipersetujui sebulat suara oleh :

-Hasbullah Mohd Faudzi, Moderator i-FORSIS
-Mohd Aizzat Abd Rahim, Ma'ruf Club
-Ni' Nurul Ain Mamat Nor, Ma'ruf Club
-Muhammad Uzair Izzat Amir, PEMBINA
-Abdullah Abdulwoheb Al Kamel, Syria
-Qutub Shah, Myanmar
-Muhammad Sayed, Myanmar
-Hassan AbuOmar, Palestin
-Ummi Kalsom, Vietnam
-Muhammad Andi Piadani, Indonesia
-Tami Astie Ulhiza, Indonesia
-Yan Mary, Cambodia

Tarikh : 23 Julai 2012 (3 Ramadan 1433 H)

09 July 2012

Coretan Mingguan: MEMBINA MINDA NEGARAWAN (siri 2)


SEMINAR PEMBENTUKAN DAN PENILAIAN POLISI AWAM

Seminar yang banyak membuka minda saya dalam memahami polisi awam negara. Sejarah Sistem Pemerintahan di Malaysia membuka tirai pembentangan pertama disusuli dengan Teori Pembentukan Polisi Awam dan Realiti Pembentukan dan Pelaksanaan Polisi Awam di Malaysia.

Dalam kertas kerja POLICY FORMULATION PROCESS – Based on the Malaysian Experience menyebut:

“ Public policy in Malaysia is designed generally upon the requirement of the political and social structure and the future demand of the nations as a whole. Since Malaysian community is a multi-ethnic society; therefore, any public policy formulation has to be carefully studied by taking into consideration many factors such as political, social and economic factors to give an acceptable norm of satisfaction among her citizen. In order to understand policy formulation in Malaysia; therefore, it is essential to get a clear scenario on the country’s political system and her social structures.

Policy making process in Malaysia has to go through several stages such as identifying the arising problems, planning, recommending/formulating suitable alternatives, legitimizing policies, implementing the suitable action policy, coordinating various events to suit the established policy and finally evaluating the effectiveness of such policy.”

Dasar awam juga dibentuk berdasarkan Desakan dasar ( Policy demands ) iaitu desakan yang dikenakan ke atas kerajaan oleh orang ramai akibat ketidakberkesanan sesuatu dasar seperti PPSMI dan Keputusan Dasar ( Policy Desicion ) sebgai keputusan yang dibuat oleh pegawai kerajaan yang bertindak.

Seminar dilanjutkan dengan wacana Pembangunan Polisi Negara Berkebajikan oleh Y.B. Tuan Guru Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang. Tuan Guru membentangkan selama 40 minit tentang Konsep Negara Berkebajikan Tawaran PAS dan sesi soal jawab dijalankan.




Negara Berkebajikan bermaksud kerajaan dan rakyatnya berkebajikan yang melahirkan rakyat (orang ramai, persatuan, komuniti, syarikat, korporat dan pemerintah )yang berlumba-lumba melakukan kebajikan yang disokong oleh sistem yang cekap yang menguntungkan kesemua pihak.

Berbeza dengan Negara Kebajikan ( Welfare State ) bermaksud kerajaan sahaja yang melakukan program kebajikan. Ini melahirkan rakyat yang bergantung kepada ihsan kerajaan dan orang lain yang ada kalanya membebankan kerajaan dan merugikan kesemua pihak sehingga melahirkan rakyat yang malas.

Negara Berkebajikan bukan bermaksud segala-galanya free. Setiap orang bertanggungjawab untuk mencari nafkah dan bekerja, kerajaan akan menanggung bagi mereka yang tidak mampu dan menanggung  dalam perkara bersifat maslahat umum seperti pendidikan.

Dalam isu dasar Pendidikan Percuma, Tuan Guru membentangkan Teori Ibn Khaldun (boleh baca di sini ).

“ Ibn Khaldun meletakkan ilmu dan pendidikan ke dalam aspek sina’ah (industri). Bermakna aktiviti ilmu bukan sahaja keperluan ruh dan akal yang menjadi sebahagian daripada kejadian manusia, bahkan kegiatannya yang betul dan saksama menghasilkan kemajuan dalam aspek yang lain termasuk aspek ekonomi yang menambahkan hasil negara.

Ilmu dan pendidikan yang memberi kemudahan kepada masyarakat dalam segala aspeknya dimasukkan dalam fardu kifayah (wajib secara umum), menjadi fardu ain pula kepada mereka yang layak menunaikannya seperti para pemimpin kerajaan. Dalam masa yang sama setiap anggota masyarakat digalakkan menunaikan kewajipan ini sehingga dimasukkan dalam amal kebajikan yang besar pahalanya dan fadilatnya berpanjangan walaupun pengamal dan penyumbangnya telah meninggal dunia.

Menunjukkan bahawa kewajipan pendidikan dan pelajaran dalam negara berkebajikan mengikut Islam menjadi tanggungjawab bersama yang tidak membebankan kerajaan sahaja, kerajaan dan masyarakat tidak boleh melarikan diri daripadanya.

Dalam masyarakat Islam yang lebih lama tamadunnya didirikan  institusi pendidikan percuma sehinggalah masuk ke zaman penjajah dan merdeka semula. Contohnya Universiti al-Azhar di Mesir, Deoband dan Aligarh di India, pengajiannya bukan sahaja jurusan Islam bahkan meluas ke bidang sains dalam segala aspeknya. Pelajarnya belajar percuma, universitinya hidup dengan harta wakaf dan zakat.

Ada juga kalangan negara Barat yang meniru tamadun awal Islam menganjurkan pendidikan percuma dengan mengenakan cukai daripada kalangan yang kaya raya tanpa membebankan kalangan miskin, walaupun negara itu tanpa mempunyai sumber bumi yang banyak tetapi pandai mengurusnya tanpa membebankan rakyat. Sedarlah kita betapa bumi yang berhasil daripada perutnya dan subur tanahnya. Mengapa tidak mampu dan takut apabila disebut pendidikan percuma. Sebabnya kerana hasil negara banyak masuk ke dalam perut para pemimpin dan konco-konconya.”

Dalam isu zakat dan cukai. Zakat ialah untuk orang Islam manakala Cukai ialah untuk orang bukan Islam. Adakah orang Islam akan dikenakan zakat dan cukai? Jawapannya tidak. Orang Islam sudah memadai dengan membayar zakat. Cukai hanya akan dikenakan ke atas orang Islam jika keadaan terdesak dan memaksa. Apabila orang Islam bayar zakat, rezeki bertambah berkat dan mendapat pahala. Cukai Perlindungan ( Jizyah ) yang dikenakan ke atas orang bukan Islam bertujuan untuk melindungi keselamatan mereka. Jika sebuah Negara Islam tidak mampu menjaga keselamatan mereka, maka kerajaan akan memulangkan jizyah ( cukai perlindungan ) ke atas orang bukan Islam sebagaimana kisah di zaman Saidina Umar. Menurut Qadi Abu Yusuf bermazhab Hanafi menyatakan cukai babi dan cukai arak harus diambil oleh pemerintah Islam dengan syarat hasil cukai diletakkan khusus dalam akaun khas dan dibelanjakan untuk orang bukan Islam sahaja sebagaimana pelaksanaan oleh kerajaan Negeri Kelantan sekarang.

Akhir sekali dalam isu Dasar Ekonomi Baru ( DEB ), satu soalan yang dikemukakan oleh peserta antara kaitan DEB yang lebih bersifat memberi hak kepada bumiputera semata-mata dengan Negara Berkebajikan yang berkonsepkan keadilan. Tuan Guru Presiden telah menjelaskan bahawa DAP sebagaimana dalam Dasar Bersama Buku Jingga telah menerima dengan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

DAP menerima hakikat bahawa majoriti rakyat ialah Melayu. Tahap kemiskinan tinggi ialah orang Melayu, penduduk luar Bandar ialah orang Melayu. Jadi wajarlah hak khusus diberikan kepada orang Melayu bagi menjaga kepentingan mereka. Masalah sebenar kegagalan DEB ialah ketirisan wang rakyat dipertengahan lapisan antara kerajaan dan rakyat.

Tuan Guru Presiden menutup sesi penggulungan dengan menegaskan bahawa Islam dan politik tidak boleh dipisahkan. Islam sebagai cara hidup bukan religion sebagaimana fahaman sekularisme Barat. Sekularisme bukan sekadar ideology bahkan mampu menanggalkan akidah Islam. Al-Marhum Syeikh Mustafa Sobri, Syeikhul Islam terakhir bagi kerajaan Uthmaniyah Turki telah memberikan pandangan bahawa:

“ Fahaman sekular adalah jalan paling mudah untuk umat Islam menjadi murtad ”.

Coretan Mingguan: MEMBINA MINDA NEGARAWAN (siri 1)

Hujung minggu sarat dengan asakan minda untuk lebih mengkaji, mendalami isu negara dan antarabangsa serta memahami secara terperinci dasar dan polisi awam Malaysia dalam mengaplikasikan konsep Negara Berkebajikan secara realistik dan membumi.

SIDANG MEJA BULAT BERSAMA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA: ISU SYRIA


Sidang meja bulat yang dihadiri perwakilan dari beberapa Gerakan Islam Asean dari Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Malaysia telah dipengerusikan oleh Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Isu Syria merupakan isu sangat rumit dan kompleks untuk diselesaikan. Dasar Luar Negara Syria  bersifat ‘ talam dua muka ’ dengan tidak mengiktiraf Israel dan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengannya. Parti  Baath yang menganut ideologi sosialis dan juga berfahaman nasionalis  yang keras terhadap Israel.

Syria juga menjadi pangkalan bagi gerakan Islam Hamas dan Jihad Islami, serta pangkalan bantuan bagi Hizbullah yang berada di Selatan Lubnan. Gerakan Islam Hamas dan Jihad Islami bermazhab Sunni, tidak sama dengan Bashar Assad yang menganut mazhab Alawi. Manakala Hizbullah bermazhab Syiah Imamiyyah yang bertentangan juga dengan mazhab yang dianut oleh Bashar dan keluarganya. ( baca di sini )

Pada masa yang sama, kerajaan Syria semakin hari semakin menzalimi rakyat sehingga minggu lalu sahaja sekitar 800 orang rakyat Syria telah terkorban menjadikan angka korban rakyat negara itu kini telah mencecah lebih 14000 orang.

Dasar Luar negara Syria ini lebih bersifat menjaga kepentingan sendiri demi menutup kezaliman terhadap rakyatnya yang menuntut demokrasi yang sebenar. Alasan kerajaan Syria membunuh rakyat sendiri mudah sahaja kerana untuk mengatasi masalah pemberontakan rakyat. Soalnya, kenapa kanak-kanak, wanita dan orang tua juga turut menjadi mangsa?

Resolusi sudah dicapai dengan kata sepakat. Seluruh Gerakan Islam Asean dan seluruh dunia bertegas dengan pendirian bahawa mengecam sebarang campur tangan kuasa luar terhadap isu dalaman Syria dan mengutuk segala kekejaman yang berlaku di Syria terhadap rakyatnya. Seluruh gerakan Islam bersetuju supaya kerajaan Syria menghentikan kekejaman terhadap rakyat dan bersetuju supaya Syria didesak dan dipaksa membuat perubahan kepada demokrasi yang sebenar.

Revolusi rakyat mesti berpihak kepada kemenangan Islam. Israel dan Amerika sedang mengintai peluang untuk merampas Syria dari dalam supaya dapat memberi lebih tekanan kepada Iran dan negara umat Islam sekitarnya apabila dasar luar negara Syria diubah. Mereka tahu dengan adanya Syria, Iran dan Hizbullah kekal mendapat bantuan dan juga Hamas di Palestin. Mereka tidak berdiam diri!

Himpunan Munajat Selamatkan Umat Islam harus digerakkan bagi memohon pertolongan kepada Allah dan menunjukkan desakan rakyat seluruh umat Islam melalui media massa agar kerajaan Syria menghentikan kezaliman terhadap rakyat dan mengecam segala campur tangan pihak luar yang cuba ingin merampas revolusi rakyat.


Tuan Guru Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang salah seorang yang banyak menyelesaikan  konflik antarabangsa.
Gambar: Beliau berada di Muktamar Penyatuan Ummah antara Mazahab di Tehran, Iran.

04 July 2012

IBU MEMBERI, BUKAN UNTUK MENERIMA


Saya benar-benar tersentuh. Air mata hampir menitis. Kata-katanya singkat, namun padat dan menyentuh. Tuan Syed bercerita seadanya. Perlahan, seakan-akan berbual ringan.

“Cuba ceritakan keistimewaan ibu Tuan Syed?”

“Semua ibu istimewa.”

“Tapi saya ingin dengar kisah Tuan Syed. Ya, semua ibu istimewa, tetapi keistimewaan seorang ibu dengan yang lain pasti tidak sama. Apa keistimewaan ibu Tuan Syed?” pinta saya seakan merayu.
“Saya teringat….” Tuan Syed mula bercerita, “Suatu hari semasa umi sangat uzur dia ingin turun tangga melihat halaman rumah. Sakitnya kian berat. Badannya lemah. Saya papah ummi menuruni tangga.”

Saya mendengar penuh minat.

“Tiba-tiba ummi berkata, ummi risau, kalau ummi meninggal nanti siapa yang akan doakn kamu!”

Saya tersentak. Benar-benar tersentuh. Jika sayalah ditempat ibu Tuan Syed itu mungkin kata-kata saya berbeza. Mungkin saya akan berkata begini, “ Kalau ummi meningggal nanti, siapalah diantara anak-anak ummi yang nak doakan ummi. Jangan lupa doa ummi ya?” Tetapi sebaliknya bagi ibu Tuan Syed didepan saya, dia bimbang kalau tidak dapat “memberi”, manakala saya, bimbang kalau tidak dapat “menerima”.

“ Apa kesan daripada kata-kata ibu kepada Tuan Syed?” cungkil saya.

“Semenjak itu hingga kini, selepas 5 tahun kematiannya, saya tidak pernah luput daripada mendoakannya setiap kali selepas solat lima waktu. Kata-kata itu sangat berkesan dihati saya.”

Matanya mula berair. Sebak.Jiwa saya terpukul. Ah, lalainya aku, kekadang lupa juga mendoakan ibu seusai solat lima waktu.

gambar hiasan

Kini setelah hampir sebulan perbualan itu berlalu, hati saya masih sukar memutuskan siapa yang lebih bertuah, Tuan Syed yang mendapat ibunya yang baik atau ibu Tuan Syed yang mendapat anak yang baik? Tapi hakikatnya, siapa yang menyayangi akan disayangi. Siapa yang paling kasih tinggi kasihnya, dialah yang paling banyak memberi. Ya, kita akan lebih banyak menerima jika kita memberi bukan untuk menerima!

Nukilan daripada: Ust Pahrol Mohd. Juoi dalam buku Nota Hati Seorang Lelaki

25 December 2011

KRONOLOGI ISU PENYENARAIAN FGVH

TAHUN 2004
Cubaan pertama untuk menyenarai Felda Holdings Berhad ke Bursa Malaysia dibuat di zaman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad namun gagal setelah ditentang hebat oleh peneroka. Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau membatalkan cadangan penyenaraian Felda Holding ke Bursa Malaysia.

TAHUN 2011
1 Januari : Pengumuman pejabat Perdana Menteri mengenai perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda yang baru berkuatkuasa.

11 Januari : Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal dengan tindakan Pengerusi Felda yang baru, Tan Sri Isa Samad yang dengan angkuhnya mengugut untuk memecat mana-mana kakitangan Felda yang didapati menyokong Pakatan Rakyat.


23 Jun : Tan Sri Isa Samad tiba-tiba telah menjadi Ahli KPF (sehari sebelum Mesyuarat Agung KPF bagi tahun 2011). Beliau sebenarnya tidak layak menjadi ahli KPF dan keahliannya di dalam KPF adalah bertentangan dengan undang-undang disebabkan jawatan beliau sebagai Pengerusi KPF adalah hanya bertaraf kontrak sedangkan Undang-Undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi Ahli KPF ialah peneroka FELDA, isteri dan anak-anak dan juga kakitangan FELDA yang berstatus tetap.

15 Ogos : Ketua Setiausaha Sulit Kanan kepada PM iaitu Datuk Aziz telah menulis surat kepada Isa memaklumkan bahawa PM telah bersetuju supaya Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF yang baru dengan mengenepikan begitu sahaja Datuk Zulkifli Wahab, Pengarah Besar FELDA sedangkan dimaklumi bahawa Datuk Zulkifli baru saja dilantik pada Mesyuarat Agung bertarikh 24 Jun 2011. Isa pula baru jadi ahli KPF pada 23 Jun, iaitu sehari sebelum mensyuarat tersebut.



25 Ogos : Isa kemudiannya telah memanggil secara tergesa-gesa satu Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah FELDA. Perkara yang dibincangkan di dalam Meyuarat Lembaga Pengarah FELDA ini adalah supaya Lembaga Pengarah FELDA melantik Isa sebagai Pengerusi KPF atas alasan Isa telah menerima surat dari KSUSK PM yang merestui perlantikan Isa sebagai Pengerusi KPF.

7 Oktober : Perdana Menteri ketika membentangkan bajet mengisytiharkan dengan bangganya bahawa peneroka akan mendapat ‘durian runtuh’ apabila FGVH disenaraikan di Bursa Malaysia.

13 Oktober : Sebanyak 10 laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis oleh ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan wakil peneroka terhadap Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad. Laporan tersebut dibuat bagi meminta siasatan dakwaan bahawa Isa telah menyalahgunakan kuasa serta ‘merampas’ jawatan Pengerusi Permodalan Felda Berhad daripada pemegang jawatannya Datuk Dzulkifli Wahab, secara tidak sah semasa Dzulkifli berada di tanah suci Mekah menunaikan Umrah.

18 Oktober : Anak telah mengiringi lebih 20 orang wakil peneroka seluruh negara menyerahkan aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Beberapa orang pemegang saham KPF telah juga membuat bantahan melalui tribunal SKMM pada hari yang sama.



25 Oktober : Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dalam satu kenyataan di Dewan Rakyat memberitahu, Isa yang juga Pengerusi Felda Holdings Bhd, secara rasminya masih belum dilantik sebagai pengerusi KPF.Ahmad Maslan berkata pelantikan Isa sebagai Pengerusi KPF akan diputuskan oleh Lembaga Pengarah Felda mengikut undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta Koperasi 1993 dan undang-undang kecil KPF.

12 November : Isa pada satu taklimat mengenai proses penyenaraian di Kuala Pilah pada lalu telah menghina Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu”, “jika saya jumpa saya akan lutu dia”.



21 November : Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad melalui surat bertarikh 21 November yang dihantar kepada Najib mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Dzulkifli bercuti dan mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan bagi meningkatkan prestasi untuk melakukan transformasi Felda.

25 November : Dzulkifli mula bercuti 25 November dan telah berlepas ke London. Arahan itu berkuatkuasa 25 November sehingga Ogos tahun hadapan.

29 November : Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda yang menaungi sejumlah 120,000 peneroka seluruh negara, menggesa perdana menteri itu menunaikan tuntutan mereka agar menyuruh Isa yang juga Pengerusi Felda berundur segera.

2 Disember : Shamsuddin Othman, Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) yang juga Ahli Lembaga Pengarah Felda untuk menyaman Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, sekiranya enggan memenuhi tuntutan warga Felda dan akan tetap bersama-sama dengan warga Felda lain di seluruh negara mendesak Isa tidak menandatangani perjanjian pajakan tanah dengan FeIda Global Ventures Holdings Sdn Bhd.


8 Disember : Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) melancarkan program ‘Gerakan Selamatkan Felda’ peringkat kebangsaan pada ini di perkarangan Masjid Lama Bandar Jengka.

13 Disember : Kira-kira 50 wakil peneroka Felda daripada beberapa negeri menyerahkan memorandum menyokong Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab di Ibu Pejabat Felda, Jalan Gurney, Memorandum sokongan itu ekoran tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Dzulkifli bercuti dan mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan bagi Meningkatkan prestasi untuk melakukan transformasi Felda.


21 Disember : GAMIS berpendirian bahawa mahasiswa mahu Najib jawab Isu FELDA. Jika tiada jawapan daripada Perdana Menteri, kami sedia menggerakkan mahasiswa untuk bersama-sama memperjuangkan perkara ini hingga mendapat penyelesaian terbaik demi membela nasib rakyat.

23 Disember : Empat orang ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) memfailkan saman pemula terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi bagi memohon injunksi mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding.

24 Disember : GAMIS menuntut supaya :

1. Mahkamah menghalang Mesyuarat Agong Khas KPF yang dijadualkan akan berlangsung pada 5 Januari 2012 daripada diadakan bagi menyekat pelupusan pegangan saham ahli KPF kepada FGVH dilakukan.

2. YAB Perdana Menteri membatalkan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

3. Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menentukan status sebenar Tan Sri Isa Samad dalam KPF.

“ Sekiranya tiada penjelasan diberikan dan tuntutan tidak dilayan, GAMIS akan menggerakan mahasiswa, khususnya dikalangan anak-anak FELDA, untuk bertindak sebagai third force dengan menterjemahkan bantahan dan kekecewaan mereka terhadap kerajaan melalui kertas undi dalam Piliharaya Umum yang akan datang.
[Lawati www.mygamis.net untuk berita selanjutnya]

12 July 2011

A.SAMAD SAID DAN BUDAYAWAN HARAPAN



UNGGUN BERSIH memanaskan lagi keresahan pihak kerajaan bila A. Samad Said mendeklamasikan sajaknya tatkala bahang Bersih 2.0 meresap kedalam pembuluh darah rakyat Malaysia. Kelantangan sasterawan negara itu sebagai satu role model dalam menggambarkan sikap sebenar seorang Budayawan Negara.
Budayawan bukan untuk pemerintah bahkan untuk rakyat. Budayawan yang bukan mudah dijual beli oleh sang pemerintah. Mereka punya jati diri yang benar dalam memandu masyarakat agar celik mata hati dalam menilai kezaliman atau keadilan,baik pemerintah atau pembangkang.
Tindakan A. Samad Said wajar dijadikan teladan bagi masyarakat. Tanpa berpihak mana-mana parti politik, beliau lantang membangkang pemerintah yang zalim menindas hak asasi rakyat. Suara beliau menjadi perhatian, tindakan beliau dijadikan rujukan untuk masyarakat Malaysia. Inilah kualiti sebenar Budayawan Harapan Masyarakat.
RUANG KETIGA
Sebuah negara bukan hak milik kerajaan pemerintah bahkan hak milik rakyat. Kuasa rakyat mampu mengubah sebuah bentuk negara dalam membawa halatuju pembinaan sebuah tamadun bangsa. Selain golongan pemerintah atau pembangkang, negara perlu dihuni oleh golongan penulis, seniman, budayawan, intelektual, ulama’, aktivis masyarakat.
Inilah ruang ketiga yang saya maksudkan. Golongan yang dimaksudkan sebagai Ulul albab atau intelektual, rausyanfikir & budayawan dalam masyarakat. Ruang ketiga untuk golongan yang bukan saja memiliki pengetahuan yang tinggi tetapi memunyai keupayaan untuk menelaah permasalahan masyarakatnya serta mencadangkan saranan-saranan pembaikan seperti mana yang dikupas oleh Breten Breytenbach dalam bukunya, Memory of Birds in a Time of Revolution.[i]
MINDA TERTAWAN
Namun hari ini cukup menyedihkan, ruang ketiga ini tidak dibuka oleh sang penguasa. Golongan Intelektual dikunci mulutnya agar terus mengiyakan sang penguasa. Rakyat terus rugi, negara terus mundur kerana pembangunan pemikiran dan modal insan diketepikan. Julien Benda berkata fenomena ini sebagai satu sebagai pengkhianatan kaum intelektual (traison d’clercs ).
Raja Ahmad Aminullah dalam bukunya Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir Dan Kuasa juga menyentuh soal pendidikan negara dengan kaitan minda penjara golongan universiti.

“ Universiti kita menjadi semacam kilang kerana sebagai masyarakat yang baru membangun, kita harus lebih mementingkan penyediaan prasarana serta tenaga kerja untuk mengisi keperluan revolusi industriy versi Malaysia. Pendidikan dilihat sebagai cara untuk melatih technician dan teknokrat untuk menjalankan mesin-mesin besar menggerakkan projek-projek pembinaan lebuhraya dan infrastrukur yang lain, menara-menara tinggi dan kilang-kilang yang terdapat dikawasan-kawasan separuh urban dan luar Bandar seperti di Tasek, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Sungai Petani, Kulim, Johor Bharu, Melaka dan Shah Alam.
Oleh itu, proses pencarian ilmu telah menjelma menjadi proses percetakan graduan dan sijil. Malah rasa hormat pada ilmu juga tidak dirasakan dalam masyarakat kita. Pensyarah maupun guru tidak lagi dianggap sebagai orang-orang terhormat apatah lagi menjadi ikon. Ditengah-tengah arus ini kita melihat penghormatan yang berlebihan pada mereka yang menunjukkan kejayaan material atau kebendaan. Yang diidolakan adalah mereka yang mempamerkan kereta-kereta mewah, berpakaian jenama dan memperlihatkan gaya hidup berkelas tinggi.’
Rakyat juga dimomokkan dengan hasutan dan ugutan bertubi-tubi apabila mahu bersuara, maka penggubalan akta-akta yang mencengkam kebebasan bersuara rakyat selaku penghuni sebuah negara seperti ISA, AUKU, Akta Hasutan, Akta Kawalan Media dan sebagainya sebagai tanda bukti sang penguasa takutkan KUASA RAKYAT yang mahukan perubahan.
Maka lahirlah golongan intelektual yang lesu. Bukan tiada idea tetapi bisu untuk menyatakan kebenaran. Sindrom berlaku dalam kalangan ahli akademik yang menjadi virus kini sebagai contoh virus ‘Please, Don’t Quote Me’. Sesetengah dari mereka juga lantang mengkritik isu antarabangsa namun takut untuk mengkritik negara sendiri yang diistilahkan oleh Prof. Syed Hussein Al-Attas sebagai Imitative Mentality (mentaliti orang-orang yang dahagakan pengiktirafan daripada luar atau dunia barat, tapi tidak mempunyai idea atau keberanian untuk mempertahankan idea sendiri). Maka lahirlah golongan intelektual yang bermain dalam hal-hal bersifat mikro, dalam permasalah furu’ yang sewajarnya umat Islam berselisih pandangan sehingga memecahbelahkan perpaduan ummah.
Disini timbulnya persoalan, kemana hilangnya ketajaman pemikiran & keilmuan golongan intelektual sekiranya tunduk kepada pemerintah. Imam Ahmad bin hanbal dipenjara kerana berkata benar kepada penguasa. Syeikh Tahir Jalaludin dalam membawa pemikiran idea Jamaludin Al-Afghani ke Malaysia dicemuh hebat baik sang penjajah maupun masyarakat sewaktu ketika dulu.
HALATUJU INTELETUAL @ BUDAYAWAN?
Dalam ketidakupayaan dunia inteletual Muslim menghadapi cabaran. Dr. Karim Crow mengemukakan faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku iaitu Pertama; dibuai oleh suasana zon selesa dan Kedua; rasa ketidakberdayaan yang self induced terutamanya apabila bedepan dengan kekuasaan. Justeru itu, Muhammad Natsir, seorang cendekiawan & tokoh pemimpin Indonesia merumuskan bahawa golongan intelektual mempunyai tanggungjawab besar (nobles oblinge) dalam mengembalikan kehebatan intelektual Muslim. Golongan ini perlu mengubah persepsi masyarakat yang anti-keilmuan dan penularan hedonism yang menjadi makanan santapan rohani para remaja. Ilmuan masih lagi tidak menjadi ikon masyarakat.
Amanah ini bukan ringan bahkan berat, golongan intelektual bukan hanya sekadar menggilap idealism intelektual bahkan komitmen & ketahanan mereka untuk terus berkata benar baik pemerintah maupun pembangkang ditagihkan dengan bayaran pengorbanan. Edward Said menyifatkan sebagai Intelektual Independen.
MEDAN PRAKTIKAL
Akhir sekali, ruang ketiga harus dibuka seluasnya untuk golongan ini. Namun, mereka bukan hanya sekadar berteori dalam wacana, seminar dan bilik kuliah bahkan merekalah yang berada dibarisan hadapan membela nasib rakyat dimedan praktikal.
Saya cukup mengkagumi A. Samad Said dengan semangatnya untuk bersama rakyat dalam Bersih 2.0. Unggun Bersih beliau jelmakan dalam tindakan!.
Kuasa gusar kini menggelegak murka;

warna kuning diisytihar racun terbisa.

Diragutnya baju-T segeram tenaga

dan diumum itulah busana bahaya.
Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.
Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.
Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.



[i] Raja Ahmad Aminullah (2011).Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa, SIRD, Petaling Jaya.

19 June 2011

BERTEMU SANG MURABBI

Bertemu murabbi, saat indah diri dimuhasabah berpalu-palu. Jiwa bergetar, hati berdebar bertemu insan hebat dimedan juang. Mukanya terukir cahaya keimanan. Susuk tubuhnya kecil, namun bersemangat dalam mendidik anak bangsa. Suaranya masih lantang menegur anaknya.

Bertemu murabbi, langkah yang hanyut dibetulkan kembali. Hati sudah merasa senang berada dimedan dakwah namun ditempelak murabbi bahawa jalan sudah terpesong jauh.
Masuk gerakan dakwah akan menempah syurga & juga menempah neraka”, kata sang murabbi.
Ingatkan intima’ dalam gerakan dakwah sudah bonus untuk ke Syurga tetapi tiket juga untuk ke Neraka. Aduh! Hati sudah bergetar, adakah keringat peluh selama ini bayaran tambang untuk ke syurga atau sudah ke neraka?.
Pengorbanan dalam gerakan dakwah akan beroleh syurga hanya untuk jiwa yang ikhlas mengorbankan diri dan menjaga pagar syariat. Diri juga akan jatuh ke lembah neraka jika akhlaknya penipu dan pembohong. Zahirnya baik namun hatinya busuk berkarat.
Memang benar, bukan senang untuk ke Syurga.
Memang benar, bukan senang untuk ikhlas dalam perjuangan.
Manusia kecundang diatas hamparan permaidani merah bukannya dirumah dapurnya tidak berasap.

24 April 2011

PRN SARAWAK DALAM IBRAH TAIF: PERTEMBUNGAN DAKWAH & POLITIK


Kota Mekah sudah tiada harapan untuk menjadi Markaz Dakwah dalam proses membina sebuah Negara Bersyariat. Misi membina negara Islam tetap menjadi fokus Nabi Muhammad saw. Setelah dakwah di Mekah menghadapi kegagalan dan mendapat tentangan dahsyat dari Quraisy. Nabi Muhammad saw mengintai ke luar Mekah sekiranya ada peluang untuk membina Daulah Islamiah. Rombongan pertama telah dihantar ke Habsyah dipimpin oleh Jaafar bin Abu Talib bagi mendapatkan perlindungan disana namun Habsyah bukan pilihan terbaik bagi mendirikan sebuah negara Islam diatas faktor Habsyah terlalu jauh dari suasana Arab.
Syeikh Muhammad Munir Ghadban dalam kitabnya Manhaj Haraki dalam Sirah Nabi saw menyebut:
“ Walaupun Rasululullah saw telah mempersiapkan markaz cadangan di al-Habsyah. Tetapi ia tidak sesuai untuk menjadi markaz pergerakan kecuali dalam keadaaan yang sangat darurat. Sebabnya ialah, al-Habsyah terlalu jauh dari suasana Arab. Asas pergerakan haruslah dari kaumnya, sehingga mereka dapat diterima oleh orang-orang Arab yang lain. Quraisy mengecam Rasulullah saw kononnya baginda menghimpunkan para pengikutnya dari semua lapisan kabilah Arab untuk menawan Mekah, maka bagaimana mungkin orang-orang Arab akan menerima masuknya orang-orang Habsyah untuk menjadi asas yang kukuh bagi dakwah, apatah lagi kenangan Quraisy terhadap al-Habsyah sengat pahit semenjak tahun Gajah.”
Seterusnya, Nabi Muhammad saw menjenguk keluar tingkap Mekah menghala ke Bandar Taif. Jaraknya lebih kurang 60 km dari Mekah. Baginda ditemani pembantunya, Zaid bin Harithah bergerak kesana dengan berjalan kaki. Menetap selama 10 hari disana, baginda berjumpa dengan pemimpin utama mereka. Berdakwah dan terus mengajak agar mereka menerima Islam dan memberi perlindungan dan sokongan mereka kepada baginda dalam menyebarkan Islam dan menghadapi kaum yang menentang. Namun pengakhirannya sebuah kekecewaan. Dakwah baginda diejek dan diperhinakan. Tiada nilai bagi mereka.
PERTEMBUNGAN KEMENANGAN POLITIK ATAU DAKWAH
“ Sesunggguhnya ALLAH sudah mendengar segala kata-kata kaummu dan tindak-tanduk mereka. Allah sudah mengutuskan malaikat penjaga gunung untuk menuruti segala arahanmu untuk berbuat apa sahaja yang kamu mahukan” seru Jibril kepada Nabi Muhammmad s.a.w.
“ Wahai Muhammad, aku pasti akan lakukan perintahmu tapi apa pula yang engkau mahu aku lakukan? Jika engkau mahukan untuk meratakan Gunung Akhsyabaini tentu aku akan melakukannya.” Malaikat Penjaga gunung berkata kepada baginda.
Rasulullah s.a.w mejawab : “ Aku cuma berharap agar Allah berkenan mengeluarkan dari anak keturunan mereka orang yang mengucapkan لا اله الا الله .”
Kata-kata ini terpacul keluar dari mulut baginda yang mulia. Walau dakwah baginda di Taif dihadapkan dengan segala ejekan, tohmahan, disakiti, dimalukan atau dihina hatta kanak-kanak diarahkan untuk membaling batu terhadap baginda. Namun nilai intergriti seorang pemimpin dan pendakwah terserlah dalam tindakan baginda.
Dalam peristiwa besar ini, ibrah cukup bermakna bagi pendakwah hari ini khususnya pendakwah yang menggunakan wasilah politik bagi memenangkan Islam dibumi sendiri. Syeikh Muhammad Munir Al-Ghadban melontarkan pandangan beliau dengan berkata:
“ Tugas sebagai seorang ahli politik ialah bagaimana ia boleh menang sedangkan tugas seorang daie ialah bagaimana dakwahnya mampu menang. Ketika diminta memilih dua perkara, Rasulullah memilih kemaslahatan dakwahnya daripada kepentingan peribadinya. Betapa ramai para daie dakwah perlu menghayati dan menanamkan nilai ini ke dalam diri mereka.”
Persoalan kalah atau menang dalam medan politik tidak menjadi kegusaran bagi seorang pendakwah dalam masa yang sama juga sebagai seorang ahli politik. Mereka merasakan cukup gembira dan puas sekiranya dakwah mereka mampu menembusi kubu kuat Jahiliyyah. Mereka terlibat dalam politik bukan untuk kepentingan peribadi untuk mengaut harta dan nama namun untuk melaksanakan visi menyelamatkan ummat dari lemas jahiliah. Mereka bukan gilakan kuasa tapi mereka mahu merampas kuasa dari tangan orang yang gilakan kuasa.
PRN SARAWAK: TERBUKTI SEBAGAI MEDAN DAKWAH
PRN Sarawak sudah berlalu. Sebagai seorang mahasiswa yang rasa bertanggungjawab semestinya mengambil tahu walaupun jauh jaraknya, menggali mutiara untuk dijadikan pedoman dalam memilih siapakah Pemimpin Negara yang layak untuk diundi.
Pilihanraya medan bertembungnya ideologi parti politik walaupun dalam satu agama. BN dan PAS berasal dari agama yang satu, Islam namun berbeza dari sudut ideologi & tindakannya. PRN Sarawak menjadi ramalan awal bagi parti kerajaan untuk melihat sokongan terhadap mereka.
Saya melihat PRN Sarawak dari sudut pertembungan dakwah dan politik berdasarkan ibrah dakwah di Taif. Walau PAS menghadapi kekalalahan dan tidak berjaya melahirkan anak sulong pertama dibumi Kenyalang, kenyataan dari pemimpin PAS yang pasrah dengan pilihan rakyat dan mereka cukup gembira dengan berjayanya menembusi kubu kuat parti pemerintah dan berjaya meningkatkan jumlah undi serta hampir berjaya di Benting Maroa.
Manhaj perjuangan PAS iaitu tarbiah, dakwah dan siasah cuba dianalisiskan dalam PRN ini. Saya nampak dengan jelas halatuju PAS dalam PRN Sarawak dengan ucapan Tuan Presiden pada 21 Mac 2011 menyebut:
“ Selain dari cita-cita untuk menempah kerusi pertama dari bumi Sarawak ini, jadikanlah medan kali ini sebagai suatu wasilah dakwah dan seterusnnya melakukan tajdid terhadap persepsi politik rakyat Sarawak yang dahagakan kepimpinan yang akan membawa mereka jauh lebih baik dari kepiminan BN yang ada pada hari ini. ”
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyebut dalam artikelnya pada 8 Ogos 2007:
“ Dakwah PAS tidak bermusim dan tidak juga tertakluk kepada kepentingan pengaruh individu dan politik . Biarpun sehari selepas tamatnya pilihanraya , PAS telah memulakan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat , demikian juga sehari selepas dibebaskan dari penjara pimpinan PAS terus melangsungkan dakwahnya.
Sekalipun dakwah yang dibawa oleh PAS tidak popular malah menerima tentangan sengit dari pelbagai pihak seperti hukuman hudud , PAS tetap menunaikan tanggungjawab dakwahnya dengan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya Negara kita melaksanakan undang – undang dan peraturan Islam itu.
Biarlah kita kehilangan undi popular dan sokongan ramai yang membawa kita kalah dalam pilihanraya , namun dakwah untuk membawa Islam kesetiap pintu hati manusia tetap diteruskan.”
( Artikel bertajuk Perjuangan PAS : Tarbiyyah , Dakwah dan Siasah )
POLITIK BARU: POLITICAL INTEGRITY
Medan politik Malaysia dijamu dengan politik jijik dan kotor. Rakyat diberikan makanan politik wang, nepotisme, video seks, politik badut, cantas-mencantas, rasuah, cepat kaya, kronisme dan sebagainya. Rakyat menolak politik dalam kehidupan disebabkan wujudnya ahli politik yang jijik dan kotor. Rakyat semakin tidak percaya kepada politik dek MP yang kurang akhlaknya. Sangat hodoh dan tak layak bergelar sebagai wakil rakyat!.
Membelek buku New Politics: Towards A Mature Malaysian Democracy oleh Dato’ Saifuddin Abdullah menjawab beberapa persoalan model sebuah politik baru Malaysia. Prof Dato’ Dr. Zaini bin Ujang, Naib Canselor UTM merespon: “ Sekiranya gagasan dan saranan dalam buku ini menjadi amalan, pasti budaya politik Malaysia akan lebih segar…’
Politik baru ialah Politik Integriti (Political Integrity ). Politik berasaskn nilai dan akhlak. Bagi membendung masalah politik jijik hari ini, ahli politik ialah manusia yang bertanggungjwab dalam membawa arena politik perlu berwajah baru. Ahli politik yang dicop rasuah, kroni dan punya masalah ahklak dengan bukti yang jelas wajar disingkirkan dalam medan mentadbir negara.
Pelaksanaan poltik baru ditegakkan dengan idealisme politik ( political idealism ) yang bersendikan kepada politik ilmu ( knowledge politics ), politik hikmah ( wisdom politics ) dan politik bakti ( service politics ).
Politik ilmu ( knowledge politics ) @ K-Politics ialah politik yang berdasarkan ilmu dan pengetahuan serta kekuatan hujah. Iklim budaya ilmu dalam politik ini diwujudkan dengan memberi ruang dan peluang untuk memberikan pandangan tanpa ragu atau ampu ( without fear or favour) . Politik ampu ( Ingratiate politics) yang menjadi barah hari ini menidakkan aspek kekuatan ilmu dan hujah dalam pemilihan pemimpin parti atau gerak kerja parti politik atau kerajaan. Wan Mohd Nor Wan Daud ( 2003 ) dalam bukunya Budaya Ilmu menjelaskan tiga prinsip politik ilmu.
Pertama: meletekkan ahli politik berilmu ditempat yang paling tinggi. Ini termasuk dalam pemilihan parti, calon pilihanraya atau pemegang jawatan kerajaan.
Kedua: setiap ahli politik sentiasa menuntut ilmu atau menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan ilmu.
Ketiga: setiap keputusan dan tindakan ahli politik adalah berdasarkan ilmu seperti mengadakan atau menggunakan Penyelidikan dan pembangunan ( R& D ).
Manakala Politik hikmah (wisdom politics) merujuk kepada politik yang melaluinya kearifan ilmu dan kebijaksanaan digunakan dalam berpolitik. Seterusnya politik ini menolak politik fitnah (defamatory politics ) dan politik lobi-melobi. Politik hikmah ini akan terlaksana sekiranya pengamal politik mengelakkan daripada politik yang terlalu partisan atau memihak kepada sesuatu pihak atau parti yang sentiasa menyokong walaupun dalam keadaan bersalah. Dan lebih parah lagi, jika berlakunya ahli politik yang mengabaikan kepentingan rakyat demi menjaga kemaslahatan parti politik itu sendiri.
Politik hikmah menolak politik berasaskan fitnah dan memburukkan lawan tanpa mengemukakan hujah dan bukti yang jelas. Pengamal poltik ini juga sewajarnya mengemukakan jalan alternative sekiranya tidak bersetuju dengan cadangan pihak lawan bukan hanya sekadar menjadi pengkritik tapi menjadi Pembangkang Konstruktif.
Seterusnya Politik Bakti (service politics) menolak politik undi ( vote politics ). Pengamal politik undi ialah ahli politik yang rajin turun berkhidmat menjelang pilihnaraya sahaja, selepas itu semua janji yang ditaburkan lesap entah kemana. Politik undi inilah kebanyakan yang berlaku hari ini,rakyat mendoakan agar Yang Berhormat ( YB ) meninggal dunia, kerana mereka sedar akan berlakunya Pilihanraya kecil seterusnya kemudahan prasana mereka akan diperbaik pulih bagi mengekalkan kemenangan. Politik ini politik yang mempermainkan hak rakyat yang memilih dan politik mungkir janji.
Keadaan lebih para berlaku sekiranya wang digunakan untuk mendapatkan kuasa, kuasa digunakan untuk mendapatkan wang, lebih banyak wang digunakan untuk mendapatkan lebih banyak kuasa, lebih banyak kuasa digunakan untuk mendapatkan lebih banyak wang.
Akhirnya politik dijadikan medan makan gaji bukan medan melaksanakan amanah yang diberikan hak oleh rakyat. Terimalah azab ALLAH bagi mereka yang terlibat dalam arena politik telah mengkhianati amanah rakyat untuk melaksanakan tunutan agama dan kebajikan rakyat.
“ Towards A Mature Malaysian Democracy ”
Sekian, terima kasih.