Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

09 November 2010

BISIKAN DOA KUDUS DARI ANAKMU




Maha suci Tuhan Yang Tunggal bersifat dengan Baqa’ dan Qidam… Tuhan Yang Berkuasa mematikan sekelian yang bernyawa.. Maha suci Tuhan yang menjadikan hidup dan mati untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa… Maha Suci Tuhan yangtelah mengaturkan seluruh manusia yang mesti menemui mati dan kebinasaan, supaya diuji dan dicubanya… siapakah di antara kamu yang mengerjakan amalan yang soleh da

n kebajikan, maka segala hasil dan buah dari usaha dan amalan kamu…nescaya akan dapat dilihat satu persatu.

Ingatlah…!!! Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, tiap-tiap makhluk semuanya akan rosak binasa melainkan zat Allah Taala. Dialah Tuhan yang Maha Berkuasa menghukum. Allah Taala jua yang mengaturkan
segalanya, dan kepadaNya kita sekelian akan kembali. Maka berbahagialah sesiapa yang yang terselamat dan
terlepas dari azab api neraka jahannam, dan mendapatpeluang masuk ke dalam syurga. Maka segala nikmat kelazatan hidup di dunia ini adalah palsu belaka. Hanya untuk sementara waktu sahaja…

Selamat Tinggal wahai bondaku..

Maha suci Engkau ya Allah…yang menjadikan lubang kubur ini sebesar-besar pengajaran, untuk menjadi iktibar kepada orang-orang yang lalai. Dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.
Wahai ibuku Zainun Saadiah binti Aminah…! Wahai ibuku Zainun Saadiah binti Aminah…!! Wahai ibuku, Zainun Saadiah binti Aminah…!!! Sedarlah dan insaflah bahawa dari tanah ibu telah dijadikan, kini kepada tanah pula ibu dimasukkan, dan kemudian dari tanah ini juga ibu akan dikeluarkan untuk dibangkitkan semula. Allah menjadikan ibu untuk menunaikan amanah dan kewajipan. Maka semasa ibu di dalam tanah menjadi mangsa dan makanan ulat dan cacing yang berkeliaran, sehingga berkecai dan hancur lebur, bercerai daging dari badan. Pada akhirnya ibu akan dibangkitkan dari tanah perkuburan ini…ibu akan dihidupkan semula,
kemudian hadir di tempat perhimpunan.

Ingatlah wahai ibuku Zainun Saadiah binti Aminah… Bahawa segala usaha dan amalan ibu di atas dunia akan diperiksa. Baik atau buruknya, taat atau berjasa…dengan tiada satu pun yang ketinggalan. Semuanya akan diberi balasan yang setimpal dan sepadan.


Wahai ibuku… Sesungguhnya anak2mu bersumpah dengan nama ALLAH yang mempunyai kebesaran, dengan
nama Rasul-Rasul yang dimuliakan, atas nama Islam agama kesucian… Bahawa inilah dia perjanjian tuhan, dan benarlah segala Rasul-Rasul pilihan.

Wahai ibuku Zainun Saadiah binti Aminah…! Mudah-mudahan Tuhan akan mengurniakan kasihan belasNya kepada ibu. Hendaklah ibu sedar bahawa segala nikmat dan kelazatan dunia telah hilang daripada ibu oleh kerana kini ibu telah memasuki alam akhirat. Dan ibu akan tinggal di sini sehingga ke hari qiamat.
Wahai ibuku Zainun Saadiah binti Aminah…! Janganlah sekali-kali lupakan pengakuan dan perjanjian kita di dalam dunia, iaitu sebutan Kalimah Syahadah “Asyhadu -Alla-ilaha- illallah, Wa asyhadu Anna MuhammadarRasulullah.” Hendaklah ibu ingat kalimah ini dan ingat akan janji-janji Allah yang ibu bawa bersama dari dunia ini. Sekarang ibu telah menuju masuk ke negeri akhirat. Ibu telah mengakui bahawa tiada
Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan ALLAH, dan bahawasanya nabi MUHAMMAD itu pesuruh ALLAH.

Ingatlah wahai ibuku… Apabila dating kepada ibu dua Malaikat sebagai wakil Tuhan yang menemui ibu iaitu
“Munkar & Nakir”… Maka janganlah ibu berasa gentar dan takut, janganlah ibu berdukacita dan risau, serta janganlah ibu bersusah hati dan kecewa. Ketahuilah wahai ibuku Zainun Saadiah binti Aminah…bahawasanya malaikat Mungkar & Nakir itu adalah hamba Allah sebagaimana ibu juga hamba Allah Taala…


Apabila mereka menyuruh ibu duduk…mereka juga akan menyoal ibu dengan berkata : “Siapa Tuhan Kamu? Siapakah Nabi kamu? Apakah agama kamu? Apakah qiblat kamu? Siapakah saudara kamu? Apakah pegangan iktiqad kamu? Apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?” Di masa itu hendaklah ibu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis terang serta jelas, tepat dan betul. Janganlah ibu berasa gementar, dan janganlah bergopoh-gapah. Biarlah dengan tenang dan berhati-hati.

Hendaklah ibu menjawab “ALLAH tuhanku yang sebenar. Apabila ditanya lagi, mahulah ibu menjawab “ALLAH tuhanku yang sebenar-benarnya. Pada kali yang ketiga dan kali terakhir mereka menyoal, hendaklah
ibu menjawab dengan lidah yang fasih. Janganlah ibu berasa cemas dan gentar kepada mereka. Jawablah
“ALLAH Tuhanku, MUHAMMAD nabiku, Islam agamaku, kitab suci Al-Quran adalah panduan ikutanku, Baitullah/Kaabah qiblatku, sekelian orang islam dan orang2 beriman adalah saudaraku,
sembahyang..puasa..zakat dan haji adalah kewajiban ke atas ku, bahkan hidup dan matiku dari masa hidupku di dunia hingga aku mati..aku membawa dan berpegang serta mengucap kalimah “Asyhadu -Alla-ilaha- illallah, Wa asyhadu Anna MuhammadarRasulullah.”

Wahai ibuku… Ingatlah dan berpeganglah dengan bersungguh-sungguh kenyataan dan pesanan anakmu ini buat selamanya. Sekiranya ditanya ibu perihal MUHAMMAD, maka hendaklah ibu menjawab bahawasanya
baginda pesuruh Allah dan utusanNya yang telah menyampaikan kepada kita keterangan-keterangan dan bukti-bukti daripada Allah, yangmana kita telah beriman dan menurut ajaranNya.


Wahai ibuku Zainun Saadiah binti Aminah…tetapkanlah hati ibu kerana inilah suatu dugaan yang paling besar.
Ingatlah bahawa ibu sekarang sedang tinggal di dalam alam barzakh…sehingga suatu masa kelak ibu akan
dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Sedarlah dan insaflah wahai ibuku… Bahasanya mati adalah benar, soalan malaikat Mungkar & Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian dihidupkan semula adalah benar, berkumpul di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dikira dan dihitung serta ditimbang amalan adalah benar, berjalan merentasi Titian Sirotal Mustaqim adalah benar, balasan nikmat syurga dan azab api neraka juga adalah benar dan ada. Sesungguhnya hari Qiamat pasti tiba dan tetap akan berlaku dengan tiada syak lagi. Tuhan Maha Berkuasa akan
membangkitkan semula manusia di dalam kubur.


Aduhai ibuku sayang Zainun Saadiah binti Aminah… Di akhirnya kami anak-anakmu mengucapkan selamat
berpisah buat selamanya, selamat tinggal di sisi Allah Taala. Kami serahkan ibu kami kepadaMu Ya Allah yang Maha Pengasih Penyayang, Tuhan yang akan memberi sejahtera kepada ibu, Tuhan yang menetapkan hati ibu. Ya Rahman..ya Rahim.. Sesungguhnya jenazah ini telah diserahkan oleh kami selaku ahli keluarganya..saudara
maranya..kaum kerabatnya..Kami serahkan di bawah peliharaanMu Ya Azim..kerana kini dia telah terpisah
dengan suaminya..dengan kami anak-anaknya, dengan orang-orang yang dikasihinya. Ibu kami telah keluar
dari lapangan rumahnya, menuju masuk ke dalam kubur yang gelap dan sempit ini, dan dia akan berehat menjadi sebaik-baik tempat tinggal kepadanya…

Ibu… Kami sekelian anak-anakmu berdoa mudah-mudahan dicucuri rahmat dan keampunan ke atas ibu..serta diterima segala amal kebajikan ibu. Semoga Allah Taala menjinakkan hati ibu, menaruh kasihan belas kepada ibu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini..

Ya Allah Ya Tuhan kami yang Maha Pengasih… kami merayu dan bermohon kepadaMu agar tidak diseksa jasad & roh ibu kami, dengan kemegahan penghulu kami Nabi Muhammad yang membawa syafaat kepada seluruh
umat. Wahai Tuhan Yang Maha Besar…! Wahai Tuhan Yang Maha Berkuasa…! Kurniakanlah limpah rahmatMu keatas hambaMu yang telah kembali kepadaMu ini. Ampunilah dosa dan kesalahannya serta kesalahan kami
anak2nya…

Ya Hannan… Ya Mannan… Ya wadud… Ya Zaljalali Wal Ikram… Damaikanlah ibu kami di sana… bahagiakanlah ibu kami di sisiMu bersama para syuhada’ & solihin… AL-FATIHAH……………………………….






Kenangan silam bersama ma. Gambar lama 04/11/05. Kami 7 beradik bersama ayah yg telah ma tinggalkan dlm kerinduan berpanjangan...

Ihsan dari abangku, Abdul Halim Ab RAzak

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika seorang hamba Allah kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat:”Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku? Malaikat menjawab:”Ya.” Allah bertanya lagi: “Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?” Malaikat menjawab:”Ya”. Allah bertanya kali ketiga:”Apakah kata hamba-Ku?”Malaikat menjawab:”Ia bersyukur pada-Mu serta mengucapkan “dari Allah kita datang dan kepadanya kita kembali”. Allah Ta’ala memerintahkan malaikat-Nya:”Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu ‘Rumah Kesyukuran’.”

    (at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)

    semoga ust adalah pemilik rumah tersebut~

    ReplyDelete